Selasa, 3 April 2012

#22 Ketaksaan dan Kekaburan Makna

Ketika berkomunikasi, kita sering kali berhadapan dengan pentafsiran makna. Kita juga sering keliru dalam memahami makna yang diucapkan oleh orang yang bercakap dengan kita dan begitu juga sebaliknya. Keadaan ini adalah disebabkan terdapat perkataan-perkataan yang jelas maknanya ada juga perkataan-perkataan yang tidak jelas maknanya. Perkataan tersebut memerlukan pentafsiran yang mendalam akibat berlakunya kekaburan makna. Jadi, pada hari ini kita akan melihat pula mengenai ketaksaan dan kekaburan makna.

Ketaksaan ialah perkataan atau ayat yang mengandungi lebih daripada satu makna. Jika kita perhatikan ayat ini she has good legs. Ayat tersebut mungkin membawa maksud wanita itu mempunyai kaki yang sihat (tiada tulang yang patah, tiada buku lali yang lemah dan sebagainya)  atau mungkin memberi maksud wanita itu mempunyai kaki yang cantik atau wanita ini mempuyai kaki yang baik fungsinya. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat mandefinisikan taksa ialah sesuatu yang mempunyai makna yang kabur, menyangsikan, meragukan, boleh menimbulkan lebih daripada satu makna atau tafsiran. Darwas Harahap, 1994: 41 menyatakan taksa ialah ayat ayat yang tidak pasti maknanya.

Kekaburan pula dapat dibahagikan kepada empat jenis yang dijumpai dalam bahasa. Jenis pertama ialah kekaburan rujukan, kedua ketidakpastian makna, ketiga kurang ketentuan pada makna item itu dan keempat pertentangan pada penentuan makna item. Kekaburan rujukan bermaksud item itu pada dasarnya sudah cukup jelas tetapi sukar ditentukan sama ada item itu dapat digunakan pada benda-benda tertentu. Rujuk contoh item lesikal city dan town. Perkataan tersebut membawa makna bandar raya. Bandar raya ialah satu petempatan penduduk yang besar yang terdiri daripada satu bilangan besar rumah manakala sebuah bandar hanya merupakan tempat yang didiami oleh manusia dan terdiri daripada sebilangan tertentu rumah. Kita sudah pasti akan mengalami kesukaran bagi menentukan tempat tertentu tersebut sama ada ia sebuah bandar atau bandar raya. Contoh ayat:

Adakah Salisbury sebuah bandar raya?
Adakah Bradford sebuah bandar raya?
Adakah Kuala Lumpur sebuah bandar raya?

Jika diperhatikan, tidak memadai jika kita menentukan sebagai sebahagian makna sesuatu item iaitu sesebuah bandar raya itu mesti mengandungi sebilangan penduduk minimum. Keadaan ini kerana kita boleh bercakap mengenai bandar raya Rom atau bandar raya Minoan Crete yang bilangan penduduknya tidak pun melebihi bilangan penduduk di sebuah kampung pada masa sekarang.


ULASAN : Dalam membina sesuatu ayat, aspek makna atau semantik amatlah perlu dititikberatkan selain aspek tatabahasa. Sekiranya ayat yang dibina tidak menekankan aspek makna maka sudah pasti ayat yang dibina atau ayat yang dituturkan akan mengandungi unsur ketaksaan atau kekaburan makna. Justeru, aspek makna tidak boleh diketepikan dalam membina sesuatu ayat. Penutur bahasa haruslah teliti atau cakna dalam membina ayat supaya ketaksaan makna tidak berlaku.

......

2 ulasan:

  1. terima kasih atas penerangan saudara di atas...boleh saya bertanya lebih lanjut tentang ketaksaan ? Aapakah perbezaan antara ketaksaan dengan kekaburan ? Dan kalau boleh mintak terangkan lebih lanjut tentang 4 jenis kekaburan tu....tq :)

    BalasPadam