Isnin, 30 April 2012

#36 Perancangan Bahasa


Pada kali ini kita akan melihat pula mengenai perancangan bahasa iaitu dari segi konsep dan juga aspek-aspek penting yang terdapat dalam perancangan bahasa ini. Difinisi perancangan bahasa ialah pembinaan bahasa yang dilakukan secara terancang supaya sesuatu bahasa itu berupaya untuk menjalankan fungsinya dengan baik. Bahasa Melayu ini telah dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang, bahasa kehakiman di mahkamah-mahkamah, bahasa ilmu dan bahasa dalam seluruh sistem kehidupan moden.
Perancangan bahasa ini terdiri daripada dua bahagian iaitu :

1. Perancangan taraf

Perancangan yang pertama ini memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa. Perancangan taraf bahasa Melayu ini melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu. Masing-masing ialah taraf sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pendidikan.

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.

Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. 

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. 

2. Perancangan korpus

Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi (pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan penggunaannya (sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya. 

Ismail Dahaman (2007) mengatakan bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa vernakular dirancang untuk membentuk bahasa  baku, terdapat tiga komponen penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan sebagainya. 

Ronald Wardhaugh (1998) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa itu termasuklah pembinaan ortografi, sumber-sumber baharu kosa kata, kamus, kesusasteraan dan penggunaan bahasa.  Oleh itu dapat disimpulkan bahawa perancangan korpus bahasa melibatkan beberapa unsur, iaitu pemilihan dan perancangan aksara, penyusunan ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penyeragaman sebutan baku, pembakuan kosa kata dan penyusunan kamus, pembakuan ungkapan, penyelarasan laras bahasa, penyelarasan wacana bahasa, penulisan hasil karya kesusasteraan, dan pengajaran bahasa pertama dan bahasa kedua. 

......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan