Isnin, 2 April 2012

#21 Definisi Ungkapan Melayu

Ungkapan Melayu adalah kata-kata indah yang sering digunakan oleh orang Melayu pada zaman dahulu. Namun demikian, kata-kata ini masih terus diamalkan sehingga ke hari ini. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu itu unik dan mempunyai nilainya estetikanya yang tersendiri. Antara ungkapan-ungkapan tersebut adalah seperti :

1. PERUMPAMAAN

Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990:187), perumpamaan adalah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada apa yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu atau yang membandingkan sesuatu dengan benda lain boleh diertikan sebagai perumpamaan. Menurut Zaitul Azma Zainon Hamzah (1006:288) mendefinisikan perumpamaan sebagai peribahasa yang mempunyai maksud yang berlainan daripada perkataan-perkataan yang membentuknya.

Menurut Nik Hassan Basri (2007:332) perumpamaan adalah simile iaitu bersifat perbandingan dua perkara yang sebenarnya berlainan atau perbandinganan satu hal dengan sesuatu yang lain tetapi sengaja dianggap sama. Manakala menurut Darwis Harahap (1996:39), perumpamaan adalah perbandingan dua perkara yang berbeza tetapi dianggap sama. Menurut Abdullah Hassan (1993:909), perumpamaan adalah perbandingan makna yang sangat jelas. Hal ini kerana perumpamaan didahului dengan perkataan-perkataan seperti seolah-olah, ibarat, bak, seperti, laksana, macam, bagai dan umpama. Perkataan-perkataan ini biasanya berada dihadapan, tetapi terdapat juga di di tengah-tengah ayat perumpamaan.

Kesimpulannya, perumpamaan dapat didefinisikan sebagai susunan kata-kata yang indah, ringkas, dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Perumpamaan adalah sejenis peribahasa yang membandingkan sesuatu dengan apa-apa yang ada di sekeliling kita. Perumpamaan menggunakan perkataan bagai, laksana, bak, ibarat, umpama  dan seperti

Perumpamaan
Maksud
Bagai aur dengan tebing
tolong-menolong antara satu dengan yang lain
Bagai bunyi cempedak jatuh
bunyi jatuh yang kuat
Bagai bulan dipagari bintang
kecantikan gadis yang tiada bandingannya
Bagai diiris dengan sembilu
perasaan yang sangat pedih
Bagai duri dalam daging
sesuatu hal yang tidak menyenangkan


2. BIDALAN

Bidalan adalah susunan bahasa yang menarik dan mudah 'melekat di mulut orang ramai'. Ia merupakan bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat, dan kata-kata hikmat. Kamus Dewan edisi keempat (2007), bidalan merupakan kata-kata yang sering kali disebut dan yang mengandungi nasihat, peringatan dan sebagainya. Selain itu, bidalan termasuk dalam kiasan Melayu sejak dahulu lagi yang diamalkan dalam masyarakat Melayu ketika dalulu yang tergolong dalam peribahasa Melayu tradisional namun pada masa kini bidalan agak kurang di amalkan dalam kehidupan seharian.

Bidalan juga merupakan susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam Bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran. Unsur ini penting di ketahui oleh masyarakat Melayu. Di samping itu, bidalan juga merupakan peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpaan, Bidalan juga mempunyai maksud dua lapis. Bagaimanapun Bidalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama. Menurut Abdullah Hassan, Bidalan ialah pepatah atau peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat. Bidalan menggunakan perkataan-perkataan seperti hendaklah, jangan, biar, lebih baik, harus dan usah.

Menurut Muhammad Said (1992) pula dalam bukunya mengatakan Bidalan itu cakapan terus dan kiasan bercampur, kadang-kadang cakapan itu berlapis seperti contohnya ‘kata’ iaitu kerbau dipegang talinya, manusia dipegang katanya. Menurut Profesior Mohd. Taib Osman pula untuk memahami puisi Melayu lama termasuk Bidalan, kita mesti menyedari bahawa ada daya cipta yang terkandung padanya, walaupun bentuk yang digunakan sudah ditentukan. Masyarakat Melayu lama adalah masyarakat yang mempunyai lapisan kemasyarakatan dan cara hidup masing-masing golongan itu mempunyai ciri-ciri perbezaan dan persamaan. Antara contoh bidalan ialah :

Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga
(Maksud: Kalau tidak mahir dalam sesuatu bidang itu akibatnya buruk.)

Ada gula ada semut
(Maksud: orang akan berkumpul ditempat yang banyak mendatangkan rezeki)

3. PEPATAH

Menurut Za’ba (1965), pepatah ialah perkataan yang pendek-pendek dan terkerat-kerat susunannya, ungkapan bahasa yang padat dan ringkas untuk memberikan pengajaran dan nasihat. Dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu, Za’ba menyatakan bahawa pepatah jika dibandingkan dengan bidalan dan perumpamaan, perbezaannya ialah pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijak perkataannya dan benar pengajarannya. Pepatah berasal daripada pusaka dan adat resam melayu. Berfungsi sebagai pedoman dalam kehidupan bermasyarakat dan bentuknya berkerat-kerat atau berpatah-patah. Pepatah ialah jenis peribahasa yang berangkap dan terdapat pengulangan kata di dalamnya. Pengulangan tersebut adalah untuk menyatakan penegasan, falsafah atau pengajaran yang hendak disampaikan. Makna ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam.

Pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. Pepatah dilihat seakan-akan sama dengan bidalan tetapi pepatah mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah tetapi mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. Ciri-ciri puisi Melayu tradisional itu merupakan ungkapan yang berpatah-patah, berbilang-bilang dan berentak-rentak. Itulah sebabnya ia dipanggil pepatah, perbilangan dan bidalan. Perbilangan pula ialah pepatah yang mempunyai bentuk talibun. Jadi, dalam kajian ini, perbilangan itu dimasukkan ke dalam pepatah sahaja. Contoh pepatah adalah seperti berikut : 

Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur-urai

(Jimat cermat itu tangga kejayaan dan murah hati itu ialah tangga tuah.)

Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati
(Apabila alat-alat kerja sudah hilang menyebabkan kerja-kerja akan tergendala.)

Tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan
(Sesuatu yang baik dan mulia akan kekal sepanjang masa.)

4. SIMPULAN BAHASA

Simpulan bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan tersebut. Simpulan bahasa adalah bentuk peribahasa yang paling mudah. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat. Penggunaan simpulan bahasa yang tepat amat digalakkan terutamanya dalam penulisan. Hal ini demikian kerana sesuatu hasil penulisan yang memuatkan simpulan bahasa akan menjadi lebih menarik dan indah gaya bahasanya. Sejak dahulu lagi simpulan bahasa sangat penting dalam menyampaikan hasrat dan menyampaikan hajat di hati samada bermaksud baik atau tidak. Contoh simpulan bahasa adalah seperti berikut :

 (i) ada angin
(sikap atau perasaan seseorang yang suka meninggi diri.)

(ii) anak buah
(orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau penghulu.)

(iii) Muka talam, mukat tebal, muka tembok
(Seseorang yang tidak mempunyai perasaan malu.)


ULASAN : Makna ungkapan-ungkapan ini perlulah dilihat secara meluas kerana kebiasaannya ungkapan ini tidak mempunyai makna selapis. Oleh itu, pengertian atau maksud yang hendak disampaikan oleh ungkapan itu tidak khusus tetapi luas rangkumannya kerana setiap ungkapan ini ada makna tersirat disebaliknya.

......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan