Jumaat, 4 Mei 2012

#40 Refleksi Keseluruhan

Sedar tak sedar ini adalah entri yang terakhir untuk tugasan blog Sosiolinguistik Melayu yang juga merupakan tugasan individu kami semua. Sebelum ini kami telah diminta untuk menulis sebanyak 40 situasi dalam masa 4 minggu yang berkaitan dengan bahasa dan juga masyarakat. Alhamdullillah, saya berjaya menyiapkan tugasan yang diminta pensyarah ini mengikut masa yang telah ditetapkan. Harapan saya adalah kesemua entri-entri saya ini menepati kehendak yang diinginkan pensyarah.

Pada kali ini saya tidak berhajat untuk menulis mengenai situasi Sosiolinguistik Melayu seperti sebelum-sebelum ini kerana saya lebih berminat untuk memperlihatkan hasil yang saya peroleh daripada pembinaan blog dan juga situasi-situasi yang telah saya hasilkan. Semoga segala yang saya akan kongsikan ini memberi manfaat kepada diri saya dan juga kepada orang lain yang melawati blog Sosiolinguistik saya ini.

Pertama sekali, ketika kami diminta untuk membina blog bagi menulis situasi-situasi tersebut, saya bertanya dalam diri apakah kewajaran pembinaan blog ini yang hanya digunakan untuk kursus ini sahaja. Tidak bolehkah situasi-situasi tersebut terus ditulis dalam microsoft word dan dihantar seperti tugasan-tugasan lain? Hal ini demikian kerana perkara ini sebenarnya menjadi masalah kepada saya yang tidak begitu mahir dalam membina blog untuk tujuan ini.


Namun demikian, setelah saya berjaya membina blog saya sendiri khas untuk kursus ini dan apabila entri pertama ditulis, saya mula berasa seronok dan bersemangat untuk menulis situasi-situasi seterusnya. Pada masa itu barulah saya sedar bahawa guru pada hari ini berdepan dengan cabaran mendatang yang penuh ranjau terutamanya dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat yang menyebabkan guru perlu mempelbagaikan teknik pembelajarannya. Oleh itu, pembelajaran menggunakan blog ini adalah salah satu cara yang baik dalam menarik minat pelajar untuk belajar. Apabila berada di sekolah nanti, saya akan menunjukkan hasil kerja saya ini kepada para pelajar saya. Walaupun blog ini pada mulanya dibina hanya untuk kursus ini tetapi ianya sebenarnya bermanfaat kepada semua.


Menulis situasi Sosiolinguistik ini juga menyebabkan saya semakin banyak membaca kerana saya perlu memahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan Sosiolinguistik Melayu ini. Hal ini demikan kerana ketika mula-mula mendapat tugasan ini saya sebenarnya sedikit keliru dan juga kurang jelas dengan kursus yang akan saya belajar ini. Alhamdullillah, melalui sedikit pembacaan tersebut, saya mula memahami konsep Sosiolinguistik Melayu ini yang lebih memfokuskan kepada bahasa dan juga masyarakat Melayu itu sendiri.

Di samping itu, melalui situasi-situasi yang telah saya hasilkan ini juga menyebabkan pengetahuan saya bertambah dan membuatkan saya lebih menghargai keindahan bahasa Melayu. Melalui tugasan ini, saya mula sedar bahawa bahasa Melayu itu mempunyai peranan yang sangat luas yang bukan hanya sebagai bahasa rasmi dan juga bahasa kebangsaan di Malaysia, tetapi juga bertindak sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa kehakiman dan lain-lain lagi.

Tidak ketinggalan, saya juga turut diajar mengenai sifat-sifat kesantunan yang perlu ada dalam setiap individu. Kami sentiasa dididik untuk mempunyai nilai-nilai murni yang baik seperti hormat-menghormati, sabar, berkerjasama, pemurah, sopan santun dan lain-lain. Kami diajar untuk tidak melakukan sesuatu sikap yang tidak baik seperti sombong, kedekut, bongkak dan lain-lain.



Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pensyarah kursus ini iaitu Puan Husna Faredza bt Mohamed Rezwan yang telah memberi peluang dan ruang serta kepercayaan kepada kami untuk kami menyudahkan tugasan ini dengan jayanya. Semoga segala ilmu pengetahuan  dan perkongsian pengalaman yang terdapat dalam blog ini dapat dimanfaatkan bersama. Terima kasih. Assalamualaikum w.b.t..

......

Khamis, 3 Mei 2012

#39 Erotesis

Kita masih lagi akan melihat gaya bahasa. Pada kali ini kita akan membincangkan gaya bahasa erotesis. Gaya bahasa erotesis ialah gaya bahasa pengulangan yang menggunakan kata tanya yang sering digunakan dalam ucapan, pidato, perbahasan atau penulisan yang tujuannya adalah untuk mencapai keberkesanan yang mendalam dan penekanan serta pertanyaan yang disuarakan atau persoalan yang diajukan itu tidak mengharapkan jawapan (Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir, 2005).

Contohnya adalah seperti berikut :

1. Apakah patut kita berdiam sahaja, apabila negara kita diserang musuh? Adakah patut kita berdiam sahaja, apabila negara kita ditaburkan dengan beribu-ribu bom? Apakah patut kita berdiam sahaja, apabila negara kita bermandikan darah anak-anak kecil, kaum ibu dan orang-orang tua yang tidak berdosa.

2. Di manakah maruah kita apabila negara kita diceroboh? Di manakah hendak kita letakkan air muka pahlawan agung kita Hang Tuah? Di manakah pendirian kita, yang kita laungkan kita rkayat Malaysia? Di manakah janji-janji yang pernah kita ikrarkan melalui rukun negara sebelum ini? Di mana?

3. Kenapakah dia gagal? Kenapakah apabila dia gagal kita pula yang dipersalahkan? Kenapakah jadi begitu? Kenapa?


ULASAN : Berdasarkan definisi yang telah diberikan, kita dapat lihat bahawa gaya bahasa ini digunakan untuk memberi penekanan kepada sesuatu ayat tersebut. Jadi, saya boleh katakan bahawa, penutur atau penulis menggunakan gaya bahasa ini untuk menunjukkan ayat tersebut adalah lebih penting berbanding ayat-ayat lain dan juga mahu orang yang mendengar atau membacanya lebih memberi tumpuan pada ayat tersebut. Kesannya, mesej yang ingin disampaikan itu berjaya disampaikan dengan baik.

......

Rabu, 2 Mei 2012

#38 Apofasis

Kita telah membincangkan mengenai alonim untuk entri sebelum ini. Pada kali ini, kita akan melihat pula mengenai gaya bahasa apofasis. Sama seperti alonim, sedar atau tidak kita banyak menggunakan gaya bahasa apofasis ini dalam kehidupan seharian kita. 

Nama lain bagi apofasis ialah preterisio iaitu gaya bahasa yang zahir dan hakikatnya digunakan oleh penulis atau seseorang untuk menegaskan sesuatu tetapi yang sebaliknya kelihatan seolah-olah dia menyangkal pula, atau kita berpura-pura membiarkan sesuatu berlalu tapi pada hakikatnya kita memberi perhatian, atau berpura-pura menyembunyikan atau merahsiakan sesuatu tetapi yang sebenarnya kita telah mendedahkannya (Nik Hassan Basri Nik Ab Kadir, 2005).

Contohnya adalah seperti berikut :

1. Dalam mesyuarat guru-guru pada petang itu, seorang guru perempuan bangun dan mengatakan bahawa dia tidak sampai hati untuk mendedahkan perihal pengetua yang cuba menceroboh tandas guru perempuan.

2. Kami keberatan untuk mengatakan bahawa kamu telah mencuri barang-barang keperluannya.

3. Cikgu tidak sampai hati untuk mengatakan bahawa kamu telah meniru dalam peperiksaan.

ULASAN : Pada pendapat saya, banyak faktor yang menyebabkan penulis atau seseorang itu menggunakan gaya bahasa ini dalam penulisan atau pun pertuturan. Salah satunya adalah disebabkan seseorang itu tidak lagi dapat bersabar dengan perbuatan yang tidak baik orang lain lakukan. Penutur berharap orang tersebut akan insaf dan mendapat pengajaran daripada perbuatan yang telah dilakukannya.

......

Selasa, 1 Mei 2012

#37 Alonim

Percayakah anda yang kita banyak menggunakan alonim dalam kehidupan seharian kita? Adakah anda faham apakah yang dimaksudkan dengan alonim ini? Alonim adalah gelaran atau panggilan nama lain bagi seseorang atau sesuatu. Kebiasaannya gelaran atau panggilan ini kita berikan kepada seseorang yang rapat atau hampir dengan kita. Antara sebab penggunaan alonim ini adalah untuk memudahkan kita mengingati seseorang itu.

Antara contoh penggunaan alonim ini adalah seperti berikut :

1. 'Mat' atau 'Mamat' ialah alonim bagi nama 'Muhammad'.
2. 'Man' atau 'Deraman' ialah alonim bagi nama 'Abdul Rahman'.
3. 'Soh' atau 'Jusoh' ialah alonim bagi nama 'Yusoff'.
4. 'Noh' atau 'Nah' atau 'Senah' atau 'Mek Nah' ialah alonim bagi nama 'Hasnah'.


ULASAN : Satu perkara yang paling mustahak dalam penggunaan alonim ini ialah kita perlu pastikan bahawa  orang tersebut selesa dengan panggilan atau gelaran yang kita berikan kepadanya. Hal ini demikian kerana perkara ini dapat mengelakkan seseorang itu terasa hati dengan kita sekiranya panggilan kita itu dapat menjatuhkan air mukanya di hadapan orang lain. Tiada masalah jika kita mahu menggunakan alonim ini tapi kita perlu pastikan orang tersebut tidak kisah dengan panggilan atau gelaran yang kita berikan kepadanya. 

......

Isnin, 30 April 2012

#36 Perancangan Bahasa


Pada kali ini kita akan melihat pula mengenai perancangan bahasa iaitu dari segi konsep dan juga aspek-aspek penting yang terdapat dalam perancangan bahasa ini. Difinisi perancangan bahasa ialah pembinaan bahasa yang dilakukan secara terancang supaya sesuatu bahasa itu berupaya untuk menjalankan fungsinya dengan baik. Bahasa Melayu ini telah dirancang supaya dapat menjadi bahasa pentadbiran, bahasa undang-undang, bahasa kehakiman di mahkamah-mahkamah, bahasa ilmu dan bahasa dalam seluruh sistem kehidupan moden.
Perancangan bahasa ini terdiri daripada dua bahagian iaitu :

1. Perancangan taraf

Perancangan yang pertama ini memberikan taraf tertentu kepada sesuatu bahasa. Perancangan taraf bahasa Melayu ini melibatkan pemberian tiga taraf penting kepada bahasa Melayu. Masing-masing ialah taraf sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pendidikan.

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan amat besar ertinya, terutama sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia. Tentu sukar diterima akal bahawa bahasa yang dinobatkan sebagai bahasa bagi 25 juta orang (dalam konteks Malaysia saja) tidak dapat menjadi wahana pemikiran moden, sedangkan transformasi budaya terus-menerus berlangsung. Oleh itu, taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus mengukuhkan potensi bahasa tersebut sebagai bahasa yang dapat berinteraksi dengan isu-isu dunia moden.

Taraf bahasa rasmi yang ditetapkan bagi bahasa Melayu pula menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini demikian kerana menurut tafsiran Perlembagaan, istilah rasmi merujuk kepada segala urusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, dan Pentadbiran Awam. Dengan tafsiran itu dan dengan andaian bahawa tafsiran itu berlaku sepenuh-penuhnya, maka tidak diragui bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa moden, iaitu bahasa yang dapat mengungkapkan konsep-konsep kehidupan moden. 

Taraf bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan atau bahasa ilmu menyediakan ruang yang cukup luas untuk kita memupuk bahasa tersebut sebagai bahasa moden. Hal ini demikian kerana asas kehidupan moden yang terpenting ialah ilmu. Bahasa yang mampu mengungkapkan hal ehwal ilmu dengan sendirinya adalah bahasa moden. Dengan potensinya yang telah terbukti pada zaman gemilang tamadun Melayu-Islam sebagai bahasa ilmu, dan dengan dibantu oleh adanya Dasar Bahasa Kebangsaan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan, bahasa Melayu kini sedang ada di landasan menuju kesempurnaannya sebagi bahasa moden. 

2. Perancangan korpus

Perancangan korpus pula merujuk kepada perubahan dalam bahasa itu sendiri yang melibatkan hal-hal seperti pembinaan ortografi (pembakuan atau pemiawaian termasuklah sistem ejaan dan tulisan dalam sesuatu bahasa), pembinaan penggunaan kata baru yang difikirkan dan dipertimbangkan dengan teliti supaya bahasa itu dapat diperluaskan penggunaannya (sumber-sumber baru kosa kata dan penciptaan perbendaharaan kata) termasuklah penggubalan istilah, penyediaan kamus, dan kesusasteraan. Asmah Haji Omar (1985:22) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa tidak lain daripada pembinaan bahasa kerana perancangan bahasa ini meliputi penciptaan istilah-istilah baharu, perubahan-perubahan yang dilakukan dalam sistem ejaan dan morfologi, pengambilalihan sistem tulisan baharu, dan sebagainya. 

Ismail Dahaman (2007) mengatakan bahawa usaha perancangan korpus bahasa termasuklah aktiviti pengayaan kosa kata umum dan ilmu melalui pembentukan istilah baharu, penyusunan kamus pelbagai jenis, penyempurnaan sistem ejaan Rumi dan Jawi, sebutan baku, penyelidikan dan pendokumentasian korpus bahasa pada peringkat nasional dan dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat. Ferguson (1968) mengatakan bahawa apabila bahasa vernakular dirancang untuk membentuk bahasa  baku, terdapat tiga komponen penting, iaitu pengabjadan, pemodenan, dan pembakuan. Pengabjadan ialah proses merancang penulisan bahasa, iaitu pemilihan aksara, sistem ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penambahan kosa kata, perkamusan, dan sebagainya. 

Ronald Wardhaugh (1998) mengatakan bahawa perancangan korpus bahasa itu termasuklah pembinaan ortografi, sumber-sumber baharu kosa kata, kamus, kesusasteraan dan penggunaan bahasa.  Oleh itu dapat disimpulkan bahawa perancangan korpus bahasa melibatkan beberapa unsur, iaitu pemilihan dan perancangan aksara, penyusunan ejaan, pemantapan tatabahasa, penggubalan istilah, penyeragaman sebutan baku, pembakuan kosa kata dan penyusunan kamus, pembakuan ungkapan, penyelarasan laras bahasa, penyelarasan wacana bahasa, penulisan hasil karya kesusasteraan, dan pengajaran bahasa pertama dan bahasa kedua. 

......

Jumaat, 27 April 2012

#35 Sentuh Bahu

Apakah yang anda rasa apabila orang yang sama jantina dengan anda menyentuh bahu anda? Adakah anda rasa rimas, seronok, tidak selesa atau tenang? Pada kali ini saya akan menulis mengenai perkara ini berdasarkan pengalaman dan juga pandangan peribadi saya sendiri. Berkemungkinan padangan saya ini berbeza dengan orang lain. Saya tidak kisah tentang itu. Kita mempunyai hak untuk berbeza pandangan berdasarkan pemahaman dan penerimaan masing-masing.

Secara peribadi, apabila rakan sejantina saya menyentuh bahu saya, saya merasakan seperti ada satu kuasa yang menyebabkan saya berasa tenang dan seperti segala masalah saya selesai ketika itu. Sentuhan itu walaupun hanya sekejap tetapi sangat memberi makna.

Saya tidak pasti tetapi berkemungkinan ianya secara kebetulan. Cuba kita perhatikan. Jika seseorang itu berada dalam keadaan sedih, kawan yang memujuknya itu pasti akan menyentuh bahunya dan sebenarnya perbuatan itu telah membuatkan dia berasa tenang dan kesedihan yang dia alami itu akan sedikit reda tanpa dia sedari.

Inilah KUASA yang saya maksudkan mengenai sentuhan bahu ini mengikut pemahaman saya. Kebiasaannya, apabila bahu kita disentuh atau kita sendiri yang menyentuh bahu seseorang itu, perbuatan ini sebenarnya telah menyebabkan terbinanya satu perhubungan yang sangat erat antara kedua-dua individu itu.  Namun begitu, pastikan orang yang disentuh bahu adalah orang yang betul-betul rapat dengan kita. Jika tidak, berkemungkinan akan berlaku salah faham walaupun kita tiada niat yang tidak baik terhadapnya.






"Persaudaraan itu adalah harga dan syarat untuk seseorang itu terus hidup.."

"Dunia ini lebih cantik dengan pelangi daripada asap benci.."

......

Khamis, 26 April 2012

#34 Terima kasih

Terima kasih? Satu ungkapan yang mudah untuk dituturkan tetapi berapa ramai dalam kalangan kita yang mengamalkan 'ungkapan mudah' ini dalam kehidupan seharian mereka. Saya tidak tahu di mana salahnya tetapi kebanyakan rakyat Malaysia agak sukar menjadikan ungkapan ini sebagai tabiat yang baik dalam kehidupan. Sebenarnya tiada satu pun kerugian jika kita selalu menggunakan ungkapan ini malahan ia memberi banyak faedah kepada kita dan juga kepada orang yang menerima ucapan terima kasih ini.

Ucapan 'terima kasih' ini kita selalu berikan kepada seseoraang yang telah menolong kita dalam sesuatu pekerjaan. Jadi, apabila kita mengucapkannya kepada orang tersebut, dia akan berasa sedikit dihargai dan secara tidak lansung tali silaturrahim telah terbina di situ. Dan tidak mustahil dia tidak akan berat hati untuk menghulurkan pertolongan pada masa-masa akan datang dengan melihat sikap kita yang menghargai setiap perbuatannya.

Saya menulis ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Ketika saya menolong seseorang itu, saya tidak pernah mengharapkan apa-apa habuan daripadanya. Saya tidak pernah mengharapkan apa-apa hadiah daripadanya. Cukuplah dengan ucapan terima kasih atas pertolongan yang telah saya berikan kepada saya. Malangnya saya tidak mendapat ucapan yang saya sangat harapkan itu.Tidak mustahil pada masa akan datang, jika dia masih memerlukan pertolongan saya, saya berat hati untuk menerimanya.


ULASAN : Jadi, pesanan saya kepada diri sendiri dan juga orang lain, jadikanlah amalan berterima kasih ini sebagai salah satu amalan wajib dalam kehidupan seharian kita. Banyak faedah yang kita peroleh daripadanya. Melalui ucapan ringkas ini, nescaya sesuatu perhubungan itu akan terus berjalan dengan baik.

......


Rabu, 25 April 2012

#33 ROKOK?


Hari ini saya cuma ada satu kelas iaitu kelas Penaksiran. Dalam kursus ini kami dikehendaki untuk membuat pengajaran penuh di dalam bilik kuliah selama 40 minit. Pengajaran ini dinamakan sebagai Pengajaran Makro yang perlu dijalankan sebanyak dua kali. Kali pertama diadakan di dalam bilik kuliah dan akan dinilai terus oleh pensyarah. Kali kedua pula kami akan membuat rakaman dan rakaman tersebut akan dipertontonkan kepada pensyarah untuk dinilai kali kedua. Markah akan diambil pada penilaian kali kedua ini.

Pengajaran Makro ini dijalankan secara berpasangan iaitu 2 orang satu kumpulan. Pagi tadi merupakan giliran Razia dan juga Liyana untuk membuat pengajaran makro ini. Tema pengajaran mereka adalah mengenai gejala merokok. Permulaan pengajaran mereka adalah dengan bertanyakan kepada pelajar sama ada pelajar sendiri merokok atau ada pengalaman dengan orang yang merokok ini.

Pelajar memberi respon yang pelbagai. Terdapat pelajar yang memberitahu bahawa pernah melihat orang perempuan merokok di kaki lima kedai. Razia memberi respon bahawa perbuatan itu sangat tidak baik dan tidak manis dipandang terutamanya kepada seorang perempuan yang sepatutnya menjauhi gejala yang tidak sihat ini. Terdapat juga pelajar yang mengatakan bahawa terdapat ahli keluarganya merokok. Sikap ini sangat tidak baik dilihat anak-anak. Bak kata pepatah 'bapa borek, anak rintik'. Segala perbuatan ibu bapa mudah diikuti oleh anak-anak di rumah.

Razia yang bertindak sebagai cikgu pada pagi tadi turut bertanyakan mengenai faktor-faktor belakunya gejala merokok ini. Antara faktor-faktornya ialah pengaruh ibu bupa, pengaruh rakan sebaya, pengaruh persekitaran, pengaruh diri sendiri dan juga pengaruh media. Cikgu Razia sempat bertanyakan pendapat saya mengenai faktor yang paling utama penyebab gejala ini berlaku. Jawapan yang saya berikan ialah faktor diri sendiri. Hal ini demikian kerana jika diri sendiri itu kuat, dia tidak akam mudah dipengaruhi oleh orang lain.




ULASAN : Kita sedia maklum bahawa perbuatan merokok ini adalah satu perbuatan yang tidak baik dan memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan terutamanya. Antara kesan tabiat merokok adalah boleh menyebabkan sakit jantung, mati pucuk, barah dan sebagainya. Pihak kerajaan telah menjalankan perlbagai kempen dan usaha untuk menimbulkan kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai kesan tabiat meroko ini tetapi bilangan perokok pada hari ini semakin bertambah dari hari ke hari. KATAKAN TAK NAK PADA ROKOK!

......

Selasa, 24 April 2012

# 32 NILAI INSAN - Tidak Semua Orang Ada



Cantik tak gambar kartun ini? Menarik bukan? Sebenarnya ada kisah disebalik gambar ini. Sebelum aku pergi dengan lebih jauh aku nak kenalkan kepada anda semua dengan pelukis kartun ini dahulu. Ilustrasi ini dilukis oleh seorang pelukis komik yang bernama Irfan Foner. Secara peribadi aku tidak mengenali sangat Irfan Forner ini tetapi aku suka tengok hasil lukisan kartunnya.

Sebenarnya idea untuk meminta Ifran Foner melukis gambar ini adalah hasil daripada pengalaman yang aku alami sendiri. Ketika itu aku dalam perjalanan pulang ke rumah. Ketika melalui satu jalan aku melihat terdapat seorang lelaki lagak seperti pengemis dengan rambut panjang kusut-masai duduk mencangkung di kaki lima. Di sebelah lelaki itu ada seekor anak anjing yang sedang lapar. Tangan kiri lelaki itu memegang mangkuk manakala tangan kanan pegang chopstick yang terdapat maggi di dalamnya dan cuba disuapkan kepada anjing itu. Wajah lelaki itu persis Stephen Chow..

Bagi aku situasi itu terlalu tinggi nilai insannya. Bagaimana seorang pengemis yang tidak punya apa-apa berkongsi maggi (makanannya yang hanya itu dia ada) dengan seekor anjing yang banyak dari kita anggap binatang yang kotor dan tidak ada guna.


......

Isnin, 23 April 2012

#31 Senyumlah


Semalam, saya bersama beberapa orang rakan telah pergi ke kedai mamak berhampiran untuk menonton perlawanan bola sepak antara Barcalona dan juga Chelsea. Lokasi kedai mamak tersebut tidak jauh dari rumah kami. Pasukan Chelsea telah berjaya mengalahkan pasukan Barcalona dengan agregat 3-2. Namun begitu, bukan ini yang saya ingin ceritakan.


Semasa di sana, kami semua telah membuat pesanan minuman dan makanan daripada pekerja di situ. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya dan rakan-rakan makan di kedai tersebut. Apa yang mengecewakan saya ialah kebanyakan pekerja di situ lansung tidak melayan kami dengan baik malahan untuk melihat mereka semua senyum pun adalah satu perkara yang sangat sukar. Mereka juga menggunakan bahasa yang agak kasar ketika mengambil pesanan kami. Kemungkinan kerana tekanan akibat daripada orang yang ramai pada waktu itu.



ULASAN : Semua sedia maklum bahawa senyum adalah sifat yang baik dan terpuji. Dengan senyuman kita dapat membina perhubungan dengan orang lain. Jadi, jika kita tidak dapat memberikan senyuman kepada orang lain, itu bermaksud kita telah mempunyai sifat tidak santun dalam diri kita. Sebagai seorang pekerja di kedai makan yang sering berurusan dengan orang ramai, kita mestilah sentiasa tersenyum untuk menarik pelanggan dan juga menggunakan bahasa yang baik untuk menjaga hati mereka. 

......

Jumaat, 20 April 2012

#30 AKRONIM

Kali ini kita akan membicarakan pula mengenai akronim. Akronim ialah sejenis gaya bahasa penyirnaan, iaitu kata yang mengalami proses penyingkatan disebabkan pengguguran huruf atau suku kata dalam struktur kata tertentu waima hasil daripada cantuman dua atau lebih perkataan sehingga akhirnya membentuk satu perkataan yang terdiri daripada satu atau lebih suku kata.

Menurut Nik Safiah et. al. (1996), akronim merupakan kata singkatan yang terbentuk dengan menggabungkan huruf awal suku kata atau gabungan kombinasi huruf awal dan suku kata daripada satu rangkai kata. Contohnya seperti cerpen, Bernama dan ABIM. Cerpen ialah akronim bagi dua perkataan iaitu perkataan cerita dan perkataan pendek. Hasil daripada proses pengguguran bahagian bunyi yang tertentu pada perkataan 'cerita', iaitu 'ita' dan pengguguran suku kata akhir bagi perkataan 'pendek', iaitu suku kata 'dek', maka tinggallah bahagian 'cer' dan suku kata 'pen' yang kemudiannya tergabunglah menjadi perkataan 'cerpen'.

Contoh-contoh lain adalah seperti berikut :

a. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
b. Angkatan Sasterawan 1950 (Asas 50)
c. Beras Nasional (Bernas)
d. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
e. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


ULASAN : Perkataan akronim ini digunakan secara meluas dan tidak terkawal di Indonesia. Di Malaysia, penggunaan kata akronim masih lagi mengikut ketetapan dalam bahasa Melayu. Walaupun pembentukan kata akronim tidak digalakkan, namun kata tunggal ini sudah menjadi sebahagian daripada kosa kata bahasa Melayu dan sudah menjadi sebati dalam kalangan pengguna bahasa Melayu itu sendiri.

......

Khamis, 19 April 2012

#29 Litotes


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, litotes membawa makna pernyataan yang diungkapkan dalam bentuk negatif untuk menyatakan keadaan yang sebaliknya, misalnya ‘tidak sombong’ yang bermaksud ‘ramah’. Gaya bahasa yang dipakai untuk menyatakan sesuatu dengan merendahkan diri atau sesuatu fikiran yang dinyatakan dengan menyangkal lawan katanya (Ariff Mohamad, 2009 :163). Ada juga pendapat menyatakan litotes sebagai penggunaan dengan cermat kenyataan yang tidak lengkap bukan untuk menipu sesiapa tetapi untuk meninggikan kehebatan tentang apa yang diperkatakan (Corbett dan Connors, 1999: 404). Litotes adalah sejenis meiosis (pengurangan).
Berdasarkan definisi yang dinyatakan sebelum ini, penulis berpendapat bahawa litotes adalah majaz yang menyatakan sesuatu yang hebat ataupun dengan kata lain yang lebih daripada sesuatu perbandingan dengan cara merendahkan martabat sesuatu yang diungkapkan. Sebagai contoh, “jemputlah naik teratak usang saya ini”. Struktur ayat tersebut jika kita baca memberi makna seseorang yang menjemput tetamunya masuk ke rumah yang buruk. Namun, sekiranya seseorang yang kaya iaitu mempunyai rumah yang mewah menjemput tetamunya masuk ke rumah dengan mengungkapkan “jemputlah naik teratak usang saya ini”. Maka ini dinamakan litotes. Hal ini demikian kerana, tuan rumah tersebut merendahkan tarafnya dari tutur katanya. Pada hemah penulis, penggunaan majaz litotes ini kadang kala menunjukkan sifat peribadi seseorang yang boleh dikatakan riak dan meninggi diri. Walaupun menggungkapkan kata-kata yang merendahkan sesuatu tetapi persepsi individu kadang-kala tidak boleh menerimanya.
Melihat daripada contoh-contoh yang diberikan, penulis berpandangan majaz litotes ini perlu digunakan pada sesuatu keadaan yang sesuai sahaja. Namun persepsi orang yang menerimanya mungkin berbeza dengan apa yang hendak disampaikan. Kadang-kala wujud persepsi iaitu penggunaan majaz litotes ini menunjukkan seseorang itu merendah diri dan kadang-kala penggunaan majaz ini boleh mengubah persepsi seseorang kepada pengguna iaitu riak. Berikut ialah penghuraian makna yang menggunakan majaz litotes:
Mengapa kamu harus bertanya pada orang yang bodoh seperti saya ini?
Berdasarkan struktur ayat di atas, kita dapat mentakrifkan dua makna. Pertama seseorang yang sememangnya bodoh merasa hairan bahawa dirinya sebagai tempat rujukan untuk bertanya. Kedua, seseorang yang sedia kala pandai menggungkapkan ayat tersebut sekadar mahu merendah diri. Namun, sekiranya seseorang yang pandai menggunakan litotes tersebut kepada orang yang tidak pandai ia menunjukkan kiasan  kepada orang yang bertanya kepadanya. Sekiranya pengungkap menggunakan struktur ayat yang sama, iaitu penyampai dan penerima sama-sama pandai dan penyampai hanya mahukan penjelasan lebih lanjut. Maka maknanya akan menjadi merendah diri.


ULASAN : Pada hemah saya, penggunaan litotes ini sememangnya bagus kerana merendahkan sesuatu yang disampaikan dengan kata lain merendah diri. Namun, sekiranya majaz litotes ini digunakan pada tempat yang tidak sesuai, ia akan menimbulkan persepsi negatif kepada  penerima iaitu meninggi diri dan mampu memberi situasi kurang selesa kepada penerima. Walau apapun, pengguna perlu menggunakan majaz litotes ini sesuai dan padan pada situasi dan keadaan yang sesuai.

......

Rabu, 18 April 2012

#28 Makna Pejorasi


Pejorasi merupakan proses perubahan makna sesuatu kata daripada yang asal kepada yang mempunyai nilai makna yang lebih rendah seperti dalam ayat “Agaknya bininya belum pulang-pulang dari subuh tadi…” (Abdullah Yusof, 2009 : 78). Berdasarkan perkataan bininya yang ditebal hitamkan dalam ayat tersebut, kita dapat melihat bahawa perubahan nilai yang lebih rendah telah berlaku. 

Hal ini demikian kerana, perkataan bininya adalah lebih rendah nilai maknanya berbanding dengan perkataan isterinya. Selain itu, dalam ayat “perut perempuan yang berkulit cerah itu membuncit”, dilihat sebagai ayat yang menggunakan perkataan yang agak keras, kurang sedap didengar dan rendah nilai maknanya. Perkataan membuncit dalam ayat tersebut telah digunakan untuk menggambarkan bahawa perempuan yang berkulit cerah itu sebenarnya hamil.


ULASAN : Kita dapat membuat kesimpulan bahawa gaya bahasa yang berbentuk pejorasi ini 
merupakan pemilihan kata yang membawa nilai makna yang rendah, agak keras dan kurang sopan oleh seseorang penulis. Penggunaan gaya bahasa ini tidak seharusnya digunakan 
secara meluas dalam karya kreatif.

......

Selasa, 17 April 2012

#27 Gaya Ameliorasi

Gaya ameliorasi merujuk kepada amalan meningkatkan nilai makna sesuatu kata kepada yang lebih baik, lebih tinggi atau yang lebih halus. Ameliorasi melihat kepada perubahan makna kata yang nilai rasanya lebih tinggi dari asalnya bagi tujuan membentuk kesantunan berbahasa. Ameliorasi juga digambarkan sebagai peningkatan makna daripada kurang baik kepada makna yang lebih baik. Contohnya dalam bahasa Indonesia, penggangur dipanggil tunakarya. Apabila kita memanggil dengan nama tersebut, kita dapat membentuk kesantunan berbahasa dan tidak menyinggung perasaan mana-mana pihak. Selain itu, terdapat contoh lain iaitu kata bilik air membawa makna yang lebih halus berbanding dengan jamban atau tandas. Terdapat juga contoh ayat yang terdapat dalam teks Guruh iaitu:

“tubuhnya  gempal, berkaca mata, kulitnya hitam manis”.

Berdasarkan ayat berikut, pengarang telah menggunakan kata gempal untuk menggantikan kata gemuk kerana kata gempal lebih halus berbanding kata gemuk.  Gaya bahasa ini juga dapat dilihat dalam ayat, “Memanglah orang kata kita tidak elok membuat persiapan untuk ibu sebelum betul-betul ibu menutup mata akhir dan ayat “…tetapi saya ingin menghembuskan nafas saya di sini juga”. Kata menutup mata dan menghembuskan nafas digunakan untuk menggantikan kata ”mati” kerana kata ”mati” memberi nilai yang kurang halus berbanding perkataan menutup mata dan menghembuskan nafas (Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim, Mohd Ra’in Shaari 2009 : 77).  


ULASAN : Kata lain yang sama erti dengan ameliorasi ialah bahasa halus atau eufemisme dalam bahasa Melayu. Bahasa halus ialah  sistem bahasa yg beradat, bersopan santun dan berbudaya tinggi. Bahasa halus digunakan untuk menghormati orang yang dilawan bercakap,  menjaga  perasaan  orang  yang dilawan bercakap, mewujudkan  kemesraan dan menghormati peraturan adat istiadat. Bahasa halus wujud kerana pertimbangan terhadap orang yang dilawan bertutur. Kedudukan, pangkat, umur dan keakraban orang yang dilawan bertutur mempengaruhi  pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Bahasa halus menggunakan nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan. 
......

Isnin, 16 April 2012

#26 Bidalan

Masyarakat Melayu penuh dengan pemikiran yang pelbagai untuk disampaikan kepada kelompok masyarakatnya melalui pelbagai cara dan kaedah. Pemikiran yang terungkap telah disampaikan oleh masyarakat dalam bentuk yang penuh dengan kebijaksanaan seperti pantun, syair, prosa dan teromba serta pemikiran itu disampaikan dalam bentuk kata-kata yang indah dan tersusun. Namun terdapat khazanah milik orang Melayu yang cukup dekat untuk merakamkan nilai dan pemikiran Melayu yang dikenali sebagai bidalan. 

Bidalan ialah sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan pengajaran kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna. Bidalan ini suatu bentuk dalam peribahasa Melayu yang digolongankan dalam sastera Melayu lama. Peribahasa jenis ini dikatakan penuh dengan nilai-nilai murni untuk dihayati dan diamati oleh masyarakat. Dalam konteks ini sesebuah masyarakat bukan sekadar berfungsi untuk menyatukan ahli masyarakat melalui makna yang terkandung tetapi juga dapat membentuk identiti dan ketamadunan masyarakat Melayu yang penuh dengan kebijaksanaan dan kesantunan sejak satu zaman ke satu zaman yang lain.

Contoh bidalan adalah seperti berikut :

1. Jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahit. (kerja yang dimulakan hendaklah diselesaikan.)


2. Kalau kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan dalam. (kalau tidak mahir sesuatu, jangan buat-buat tahu)


3. Ada gula ada semut. (orang akan berkumpul pada tempat yang banyak rezeki.)


4. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. (jangan disangka orang yang pendiam itu tenang dan tidak berbahaya.)





ULASAN : Makna yang terkandung dalam bidalan ini harus dihayati oleh semua lapisan masyarakat. Terdapat banyak bidalan yang memberi makna yang boleh membentuk peribadi manusia.  Ada bidalan yang membentuk masyarakat menjadi orang yang lebih bijaksana. Contoh-contoh bidalan yang ditunjukkan juga memperlihatkan bahawa orang Melayu dahulu kala bukan hanya sekadar prihatin terhadap alam sekelilingnya tetapi juga bijak berfikir.  Bidalan ini secara tidak lansung menjadi rujukan dan petunjuk kepada mereka bagi memilih cara hidup yang baik dan dapat memberi panduan mengenai sikap yang harus diikuti dan dihindari. 

......

 

Jumaat, 6 April 2012

#25 Makna Gramatikal

Menurut Darwis Harahap (1994: 49), gramatikal membawa maksud nahuan atau tatabahasa dan makna gramatikal merupakan makna yang muncul akibat proses gramatikalnya. Makna gramatis ini ialah makna yang terkandung dalam sesuatu imbuhan apabila ia bergabung dengan kata dasar mahupun dengan perkataan yang telah mendapat pengimbuhan sebelumnya atau kata terbitan. Makna gramatikal juga merupakan makna yang ditimbulkan oleh proses gramatis yang ditentukan oleh urutan kata, intonasi, dan bentuk. Abdullah Yusof (2009: 3) pula menjelaskan bahawa makna gramatikal adalah bidang kajian semantik yang mengkaji makna yang hadir daripada proses gramatikal, seperti pengimbuhan, penyisipan, penggandaan dan pemajmukan.

i)   Penyisipan

Sisipan merupakan sejenis imbuhan kerana bentuk yang ditambahkan pada kata dasar. Sisipan hadir di celah kata dasar. Walau bagaimanapun, sisipan tidak produktif lagi kerana sisipan tidak menghasilkan bentuk-bentuk terbitan yang baharu. Dalam bahasa Melayu terdapat empat bentuk sisipan, iaitu –em-, -el-, -er-, dan –in-. Sisipan ini digunakan dalam pembentukan istilah dalam bahasa Melayu dan sesebuah kata yang menerima sisipan akan berlaku perubahan maknanya. Sisipan kata nama, iaitu –el-, -er-, dan –em-  boleh membawa makna ‘sesuatu yang mempunyai ciri yang terkandung dalam kata dasar’, seperti telunjuk, gerigi dan kemucup. Bentuk sisipan kata adjektif pula, iaitu –el-, -er-, –em-  dan –in-, seperti selerak, gemuruh, dan kerlip mendukung makna ‘bersifat’. Manakala bentuk sisipan kata kerja, iaitu –el-, -er-, dan –em- , kata nama dan kata adjektif akan menjadi sisipan kata kerja apabila melalui proses pengimbuhan, seperti menjelajah, bergerigi, dan bergemuruh.

ii) Pengulangan atau Penggandaan

Pengulangan atau penggandaan terhasil dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata ganda tersebut diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu, dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan (Tatabahasa Dewan, 1993: 49). Menurut Abdullah Hassan (2002: 36), kata ganda terbahagi kepada lima, iaitu gandaan penuh, gandaan separa, gandaan berentak, gandaan bersisipan dan gandaan bebas. Dalam Tatabahasa Dewan (1993: 77), terdapat tiga jenis kata ganda, iaitu kata ganda seluruh atau penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak atau bersajak atau berima.

iii)  Pemajmukan atau penggabungan

Tatabahasa Dewan (1993: 73) mendefinisikan proses majmuk ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Menurut Abdullah Hassan (2002: 11) pula, kata majmuk terdiri daripada dua perkataan atau lebih, tetapi bertabiat sama seperti satu perkataan. Makna kata majmuk merupakan makna gramatikal kerana makna itu hadir setelah terjadinya proses gramatikal, iaitu proses pemajmukan. Makna kata majmuk berkaitan hubungan makna antara unsur yang membentuk paduan itu, yakni ada atau tidak makna yang muncul daripada hubungan makna antara unsur pertama dengan unsur kedua dari paduan tersebut. Makna kata majmuk dapat dilihat dari unsur-unsur pembentuknya sama ada makna itu terhasil daripada unsur pertama pembentuknya, unsur keduanya, atau daripada kedua-duanya. Oleh hal yang demikian, kata majmuk merupakan dua atau lebih kata yang digabungkan dan membawa makna baharu yang berbeza dengan maksud asal kata itu.

 iv Pengimbuhan

Gramatikal merupakan proses perubahan bentuk kata yang terjadi kesan daripada penggunaan imbuhan terhadap kata dasar yang akan melahirkan makna-makna gramatis. Kata imbuhan merupakan bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang menerima imbuhan, sama ada awalan, sisipan, akhiran ataupun apitan. Proses pengimbuhan dalam bahasa Melayu merupakan satu cara untuk mengembangkan kata dasar. Hal ini bermakna bahawa pelbagai imbuhan dapat diimbuhkan pada satu kata dasar. Contohnya, daripada kata dasar batas, dapat diberikan pelbagai pengimbuhan pada kata tersebut seperti dibatas, perbatas, pembatas, berbatas, terbatas, membataskan, batasan, keterbatasan, dan pembatasan. Dengan adanya pelbagai bentuk imbuhan pada kata dasar batas, makna kata tersebut juga menjadi pelbagai.


ULASAN : Dalam bahasa Melayu makna gramatikal dianggap sebagai satu ciri yang istimewa. Hal ini demikian kerana bahasa Melayu memiliki ciri pengembangan maknanya melalui pelbagai proses seperti proses penyisipan, pengulangan, pemajmukan dan pengimbuhan. Dengan melalui pelbagai proses yang hanya terdiri daripada beberapa kata, huruf, atau bunyi dengan jumlahnya yang terhad, ia dapat memberikan makna yang lengkap dan tepat. Walaupun kata, huruf dan bunyinya terbatas dan jumlahnya terhad, namun penutur jati atau orang Melayu dapat membezakan maknanya.

......

Khamis, 5 April 2012

#24 Sinonim dan Antonim


Makna dalam Bahasa Melayu juga boleh dikaji dengan melihat makna perkataan secara sinonim dan antonim. Sinonim merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Sinonim juga bermaksud perkataan yang berlainan bentuk ejaan atau bunyi tetapi mempunyai makna yang sama atau hampir sama. Contohnya, perkataan 'ibu' dan 'emak' merupakan kata yang bersinonim kerana mempunyai makna yang sama.

Sebaliknya pula dengan makna antonim. Antonim ialah perkataan yang berlainan bentuk ejaan atau bunyi tetapi mempunyai makna yang berlawanan. Antonim ini sebagai kata yang berlawanan maknanya dengan kata lain. Contoh perkataan tinggi  lawan rendah, miskin lawan kaya. Contoh perkataan berantonim yang lain ialah gemuk lawan kurus, nipis lawan tebal, masam lawan manis. Manakala dalam contoh ayat pula yang membawa maksud berantonim ialah ‘Walaupun Ali miskin, tetapi dia kaya budi bahasa’.


ULASAN : Makna sinonim mempunyai beberapa kekecualian dalam ayat bergantung kepada jenis dan konteks ayat-ayat yang dibina. Begitu juga dengan makna antonim yang tidak boleh dikatakan sebagai mengandungi makna yang benar-benar berlawanan. Ini kerana terdapat kata-kata yang tidak mendokong makna berantonim yang sebenar. Sebagai contoh jantan tidak boleh dikatakan berantonim dengan betina kerana ia membawa maksud yang lain. 

......

Rabu, 4 April 2012

#23 PERUMPAMAAN

Jika sebelum ini saya pernah membincangkan tajuk mengenai peribahasa, simpulan bahasa dan juga pepatah. Kali ini saya akan berkongsi pula sedikit maklumat mengenai perumpamaan. Perumpamaan ialah kata-kata yang membawa makna tersurat dan tersirat. Perumpamaan banyak digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Mereka menggunakan perumpamaan untuk pelbagai tujuan. Perumpamaan ini digunakan untuk memberi teguran, nasihat dan merupakan satu kaedah sindiran secara halus. Melalui penggunaan kata perumpamaan, individu yang mendengar tidak mudah tersinggung. Oleh sebab itu, memang wajarlah penggunaan kata perumpamaan digunakan bagi mengelak pelbagai salah sangka yang akan timbul.

Perumpamaan mempunyai banyak kegunaannya bukan sekadar mencantikkan bahasa tetapi juga mengandungi maksud yang tersirat dan tersurat. Contoh perumpamaan yang mengandungi nasihat adalah seperti "ada beras taruh dalam padi, ada ingat taruh dalam hati." Perumpamaan tersebut menyampaikan nasihat supaya kita tidak membocorkan rahsia seseorang dan menyimpannya sebaik mungkin. Hal ini adalah kerana, jika kita membocorkan rahsia seseorang nescaya kita akan bergaduh denganya. Maka lebih baik kita hanya berdiam diri tanpa memberitahu pada sesiapa. Jika kita meneliti dengan lebih dalam, kata-kata perumpamaan tersebut juga ada menggunakan unsur alam dalam memberi nasihat seperti perkataan beras dan padi. Oleh sebab itu, penggunaan unsur alam dalam perumpamaan tidak terbatas walaupun sekadar untuk memberi nasihat.



ULASAN : Jelas menunjukkan kepada kita perumpamaan ini sesuatu yang amat unik, menarik dan istimewa sekali dalam hubungannya dengan kehidupan masyarakat baik yang silam mahupun yang ada pada masa sekarang. Perumpamaan itu tidak seharusnya hilang kerana segala yang digambarkannya adalah refleksi kepada kehidupan masyarakat itu sendiri. Sebagai warisnya, kita harus menjaga warisan Melayu yang diamanahkan ini agar tidak hilang ditelan arus permodenan zaman. 

......