Jumaat, 30 Mac 2012

#20 Pepatah

Jika sebelum ini saya pernah menulis mengenai peribahasa dan juga simpulan bahasa. Kali ini pula saya akan menulis mengenai pepatah. Pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. Pepatah dilihat seakan-akan sama dengan bidalan tetapi pepatah mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah dan mengandungi unsur-unsur pengajaran. Pepatah juga lebih menitikberatkan sifat ringkasnya di samping ketepatan perkataan dan kebenaran pengajaran yang diungkapkan di dalamnya. Dengan kata lain, setiap patah perkataan yang digunakan membawakan unsur pengajaran kepada pendengarnya walaupun ada juga pepatah yang tidak memuatkan sebarang pengajaran secara khusus. Ungkapan pepatah adalah berasal daripada patah-patah perkataan. Antara contoh pepatah Melayu adalah seperti : Indah khabar dari rupa, Alah membeli menang memakai, Alah bias tegal biasa, Biar lambat asal selamat dan banyak lagi pepatah yang selalu digunakan dalam pergaulan harian masyarakat Melayu sebagai unsur nasihat dan pengajaran seperti yang terdapat dalam jadual di bawah:

Pepatah Melayu
Maksudnya

Ditelan mati emak,
diluahkan mati bapa.

Susah memilih kerana kedua-dua pilihan sama penting.
Gajah sama gajah
berjuang, pelanduk mati
di tengah-tengah.

Orang besar-besar berselisih, rakyat yang menderita.
Guruh tak berbunyi,
malang tak berbau.

Kemalangan berlaku tanpa diketahui terlebih dahulu.
Harapkan pagar,
pagar makan padi.

Percaya akan orang yang mengkhianati kita.
Kalah jadi abu,
menang jadi arang.


Kedua-dua pihak yang berkelahi sama-sama menanggung kerugian tidak kira siapa yang menang atau siapa yang kalah. Kedua-duanya hangus.

Sepandai-pandai
tupai melompat,
akhirnya jatuh ke
tanah juga.


Orang yang pandai akan melakukan kesalahan sesekali. Kalau orang itu pandai melakukan jenayah, sekali jatuh pun cukuplah susah.
Berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing.

Bekerjasama dan saling menolong.
Sehari selembar
benang, lama-lama
jadi kain.

Sedikit demi sedikit, lama-lama berhasil juga.
Biar putih tulang,
jangan putih mata.

Rela mengorbankan nyawa daripada menanggung malu.
Di mana ada kemahuan,
di situ ada jalan.
Orang yang bercita-cita akan berusaha mencapainya.

Genggam bara api,
biar sampai jadi arang.
Bersabar melakukan kerja yang susah sehingga berjaya.

Jika tidak
dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya.

Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja tanpa berusaha.

Takut kerana salah,
berani kerana benar.

Berasa takut kerana melakukan kesalahan, sebaliknya jika benar, berasa berani.

Buang yang keruh,
ambil yang jernih.

Buang yang jahat, ambil yang baik.


ULASAN : Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita sepatutnya menghayati keindahan dan kehalusan pepatah Melayu, iaitu yang terhasil daripada pemerhatian dan penelitian terhadap alam semulajadi.  Fenomena alam semula jadi yang diperhatikan dan diteliti dikaitkan pula dengan pengalaman kehidupan seharian dan digunakan untuk menggambarkan sifat-sifat manusia dan keadaaan masyarakat yang wujud di sekitarnya secara halus. Selain itu, kita juga dapat melihat sesuatu yang amat unik, menarik dan istimewa sekali dalam pepatah yang diberikan dalam hubungannya dengan kehidupan masyarakat Melayu baik yang silam mahupun yang ada pada masa sekarang. Pepatah tetap tidak luntur dan segala yang digambarkannya adalah refleksi kepada kehidupan masyarakat itu sendiri.

......

Khamis, 29 Mac 2012

#19 Logik dan Makna

Entri seterusnya ini kita akan melihat konsep logik dan juga makna. Kedua-dua konsep ini mempunyai beberapa perbezaan tetapi ianya mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Kita perlu tahu membezakan antara kedua-duanya. Makna mempunyai perkaitan atau pertautan antara unsur- unsur bahasa itu sendiri. Oleh yang demikian, untuk melihat sesuatu kata itu bermakna atau tidak haruslah melihat kepada perhubungan antara kata dan perkara yang berkaitan dengan kata tersebut. Hal ini bermakna setiap kata yang dikaji mempunyai makna tertentu atau maknanya yang tersendiri. Selain itu, makna juga dikatakan sebagai penghubung bahasa dengan dunia luar sesuai dengan kesepakatan para pemakainya iaitu penutur sehingga dapat saling memahami dan mengerti. Hal ini bermakna, makna itu mengambil aspek makna yang diberikan melalui kesepakatan masyarakat supaya proses berkomunikasi itu dapat berjalan dengan sempurna dan saling memahami perkara yang ingin disampaikan.

Logik pula boleh didefinisikan sebagai dapat diterima oleh akal, masuk akal dan munasabah. Oleh yang demikian, perkara yang tidak dapat diterima akal atau kata yang luar biasa adalah tidak termasuk kepada kata yang logik. Dalam hal ini, logik dilihat sebagai satu pengkajian berkenaan prinsip-prinsip kesahihan tentang sesuatu sama ada secara inferens atau demonstrasi. Inferens di sini bermaksud sesuatu yang diketahui secara langsung manakala demonstrasi ialah sesuatu yang diketahui setelah dijalankan penyelidikan. Kedua-dua perkara ini merupakan sesuatu yang berbeza. Logik dalam hal ini merujuk kepada rentetan cara untuk mendapatkan sesuatu rumusan berasaskan beberapa andaian yang mempunyai alasan yang kukuh. Namun, dalam bidang semantik, ‘makna logik’ adalah makna yang ditinjau dari sudut kebenaran iaitu makana yang dapat diterima oleh akal manusia. 

Contohnya, ‘Salji turun di negara Malaysia’. Ayat ini dikatakan tidak logik atau tidak betul kerana pernyataan dalam ayat tersebut dikatakan melanggar kebiasaan umum berkaitan cuca di Malaysia iaitu kebiasaannya hujan yang akan turun di Malaysia bukannya salji. Hal ini kerana salji hanya turun di negara yang beriklim sejuk bukannya beriklim khatulistiwa seperti negara kita. Oleh yang demikian, ayat ini dikatakan tidak dapat diterima akal dan diklasifikasikan sebagai tidak logik. Ayat ini hanya menjadi logik jika dibertulkan kepada ‘Hujan turun di negara Malaysia’.


ULASAN : Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa terdapat perhubungan yang rapat antara logik dan makna. Selain itu, terdapat juga hubungan rapat antara kata dan makna. Jika sesuatu ayat itu logik, maka ayat tersebut akan mempunyai makna. Sesuatu perkataan itu boleh membawa makna yang berbeza jika digunakan dalam situasi yang berbeza. Dalam hal ini juga, sesuatu perkataan itu bukan sahaja dilihat dari segi maknanya tetapi juga perlu dilihat dari sudut situasi logiknya. Oleh yang demikian, sesuatu ungkapan itu tidak mempunyai makna jika mengandungi unsur-unsur yang tidak dapat diterima akal dan akhirnya akan sukar untuk diterima oleh sesetengah pengguna bahasa.

......


Rabu, 28 Mac 2012

#18 IMPLIKATUR PERBUALAN

Implikatur Perbualan adalah konsep yang diutarakan oleh Grice untuk menjelaskan tentang satu bentuk pentaksiran makna yang melawati batas-batas makna tersurat sesebuah ayat. Dalam proses penganalisisan pragmatik perbualan ini juga ada mengemukakan konsep perandaian yang bermaksud seseorang penutur beranggapan makna yang dituturnya telah pasti difahami oleh pendengarnya. Maksudnya semasa kita bertutur, kita tidak perlu memaklumkan semua keperihalan ke dalam ayat yang dituturkan, cukup yang tertentu sahaja kerana banyak keperihalan keadaan sudah pun terdapat di dalam minda pendengar. Contohnya :

Lakuan tuturan                      : Saya berasa haus
Lakuan tidak langsung           : Rasa kering tekak pula

Dalam suatu tindak percakapan, setiap bentuk tuturan (utterance) pada dasarnya mengisyaratkan adanya implikasi tertentu yang tidak dinyatakan secara eksplisit. Walaupun implikasi tidak dinyatakan secara nyata atau formal, tetapi kewujudannya berfungsi sebagai pengikat komunikasi antara penutur. Terdapat 2 jenis implikatur perbualan ini iaitu :

1. Implikatur Konvensional

Implikatur konvensional merupakan implikatur yang dihasilkan dari penalaran logika, ujaran yang mengandungi implikatur jenis ini, seperti diungkap oleh Gunawan (2004:14), dapat dicontohkan dengan penggunaan kata bahkan. Contoh ayat ialah :

Bahkan menteri pun menghadiri majlis pernikahan saya. 
(Contoh ini bererti menteri biasanya tidak menghadiri perkahwinan rakyat biasa.)

2. Implikatur Konversional

Implikatur konversional merupakan implikatur yang dihasilkan kerana tuntutan konteks tertentu. Contohnya:

Saya ada mesyuarat pagi esok di Kuala Lumpur.
(Contoh ini pula bermakna “tidak” dan merupakan jawapan atas pertanyaan adakah kamu ingin menyertai kami ke Kuantan esok?)


ULASAN : Satu daripada keberhasilan perbualan ialah kemampuan menangkap dan memahami implikasi perbualan. Kepelbagaian jenis implikatur menunjukkan betapa rumit dan kompleksnya suatu perbualan. Untuk memahami implikatur perbualan, pengalaman dan pengetahuan diperlukan tentang situasi perbualan. Dengan kata lain, implikatur dapat difahami dengan mudah jika para penutur dapat membahagikan pengalaman dan pengetahuan dalam perbualan yang dilakukannya.

......

Selasa, 27 Mac 2012

#17 Makna Konseptual dan Makna Denotatif

Terdapat beberapa jenis makna yang ada dalam bahasa Melayu. Antaranya ialah makna konseptual dan juga makna denotatif. Ramai dalam kalangan kita yang tidak dapat membandingkan kedua-dua jenis makna ini dengan baik. Jadi, pada kali ini saya akan cuba menjelaskan konsep kedua-dua makna ini dengan lebih terperinci. 

Makna konseptual sebenarnya disebut juga sebagai makna denotatif, iaitu makna kata yang masih merujuk pada acuan dasarnya sesuai dengan konvensi bersama. Namun begitu, ada beberapa perkara yang membezakan kedua-dua jenis makna ini. Makna denotatif sendiri merupakan makna yang asas, asli dan makna sebenarnya. Chaer mendefinisikan makna denotatif sebagai makna asli, makna asal, atau makna sebenarnya yang dimiliki oleh sebuah leksem. Jadi, makna denotatif adalah makna yang terkandung dalam sebuah kata atau leksem yang bersifat luas, sebenarnya dan masih  pada satu sumber atau konvensi bersama. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa makna denotatif merupakan makna dasar sesebuah kata. Lawan makna denotatif adalah makna konotatif, yang lebih bersifat nilai rasa emotif dalam penggunaannya.

Contoh makna denotatif sebenarnya sama dengan makna konseptual tadi. Namun, untuk lebih jelas supaya mudah difahami, saya telah menyenaraikan beberapa contoh makna denotatif. Makna denotatif ialah makna asli, asal, atau makna sebenarnya. Oleh itu, makna denotatif sama dengan makna leksikal. Contoh :

babi            = haiwan yang menyusukan anak yang bermuncung panjang, berkulit tebal, dan berbulu kasar, serta diharamkan bagi orang Islam
gerombolan   = kumpulan, kelompok atau kawanan
perempuan    = orang yang dapat hamil, melahirkan anak  dan menyusui
bunga             = bahagian tumbuhan yang digunakan sebagai alat reproduksi atau berkembang biak.

Makna konotatif pula ialah makna lain yang ditambahkan pada makna denotatif yang ada hubungannya dengan nilai rasa orang yang menggunakan kata itu. Contoh:
            
babi                =          jijik dan kotor, rasa marah dan menyampah.
gerombolan    =          kawanan perusuh atau penjahat
perempuan     =          unsur negatif


ULASAN : Konsep memainkan peranan penting kepada manusia untuk mentakrif, memahami, memutus buah fikiran. Tanpa konsep, kita tidak mungkin berupaya mewujudkan makna denotatif atau makna sebenar. Makna sesebuah perkataan sering bergantung pada konteks ayat atau situasi penggunaannya. Contohnya, perkataan babi jijik bagi orang Islam, tetapi tidak jijik bagi orang bukan Islam. Oleh itu, kita harus peka dengan perkara ini. Hal ini menunjukkan bahawa Makna konseptual merujuk kepada benda, konsep atau perlakuan yang dirujuk dan lambang merujuk bentuk tulisan yang mewakili perkataan yang diujarkan.



......


Isnin, 26 Mac 2012

#16 Dialek : Bahasa Melayu dan Dialek Perak

Saya akan mengkaji dialek Perak dan membandingkan sistem fonologi dialek Perak ini dengan bahasa Melayu standard. Jika negeri Kedah hanya merupakan salah satu dari subkawasan dialek Kedah disebabkan dialek ini mempunyai penyebaran yang melampaui sempadan negeri, maka ia sama dengan keadaan di negeri Perak. Tutur kata yang mewakili dialek Perak hanya terdapat di negeri Perak.

Selain itu, bahagian-bahagian tertentu di negeri Perak juga merupakan kawasan penyebaran dialek-dialek lain iaitu dialek Petani di daerah Ulu Perak dan Larut Matang, dialek Kedah di daerah Taiping ke Utara dan dialek Selangor di daerah Ipoh ke Selatan. Kawasan daerah Perak yang betul-betul mewakili dialek Perak ialah di daerah Parit dan Kuala Kangsar, manakala sebahagian daerah Kuala Kangsar yang bersempadan dengan Taiping termasuk daerah Kerian merupakan kawasan peralihan antara dialek Kedah dan dialek Perak.


Dialek Perak mempunyai dua pecahan kecil dalam dialek Melayu Perak (Tengah dan Selatan). Sebagaimana dialek Johor-Riau, Dialek Perak juga tidak mengikut sebutan baku ‘a’ seperti contoh berikut:

Ejaan Standard
Johor-Riau
Perak Selatan
Perak Tengah
/Saya/
[Sayě]
[Sayěě]
[Saye]
/Apa/
[Apě]
[Apěě]
[Ape]
/Berapa/
[Berapě]
[Berape]
[Berapěě]

Nota: Huruf-huruf ěě merupakan sebutan ‘ě’ yang dibunyikan dengan jelas. Manakala huruf ‘e’ mengikut contoh bunyi e dalam kata ‘beca’ . namun begitu terdapat sedikit perbezaan kata antara dialek Perak dengan Bahasa Melayu Standard seperti dibawah: (sekadar beberapa contoh)

BM Malaysia
Perak Selatan
Perak Tengah
/Kamu/
[Koměě[
[Kome[
/Kota/
[Kotěě[
[Kote]


Namun begitu, tidak banyak perbezaan yang terdapat dalam konsep bilangan antara bahasa standard dengan Dialek Perak ini dengan diwakili oleh subdialek Taiping.

Bahasa Melayu standard
Subdialek Taiping
/satu/
[satwu]
/dua/
[dwue]
/tiga/
[tige]
/empat/
[əmpat]
/lima/
[lime]
/enam/
[ənam]
/tujuh/
[twujoh]
/lapan/
[lapan]
/sembilan/
[səmbilan]



ULASAN : Sistem fonologi dialek-dialek Melayu sememangnya mempunyai perbezaan yang ketara dengan sistem fonologi bahasa Melayu standard. Bahasa Melayu standard atau bahasa Malaysia sudah mengalami perkembangan yang pesat dalam sistem fonologi, terutama sekali dalam sistem konsonannya. Perkembangan ini sesuai dengan perluasan peranan yang dimainkan oleh bahasa ini dalam masyarakat iaitu bukan sahaja sebagai bahasa pengantar sosial, tetapi juga sebagai bahasa pentadbiran, ikhtisas, akademik diplomasi dan teknologi.

......


Jumaat, 23 Mac 2012

#15 Simpulan Bahasa

Selain kaya dengan peribahasa, bahasa Melayu juga mempunyai simpulan bahasa yang merujuk kepada kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Simpulan bahasa ini juga boleh diertikan sebagai bahasa kiasan yang digunakan secara meluas dalam kehidupan sehari-hari.

Simpulan bahasa ini mempunyai  ungkapan yang mantap dan mempunyai maksud yang khusus. Ia mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata yang membawa maksud yang tepat dan padat. Antara contoh simpulan bahasa beserta maknanya adalah seperti berikut : 

1. Anak buah. (orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua seperti ketua pejabat atau penghulu.)

2. Muka talam. (tak tahu malu.)

3. Tua keladi. (Seseorang yang sudah lanjut usianya tetapi perangai tidak senonoh atau jahat.)

4. Tangkai jering. (kedekut)

5. Cakar ayam. (tulisan yang buruk)


   ULASAN : Kewujudan simpulan bahasa sememangnya menggambarkan keindahan bahasa dan bangsa. Selain itu, simpulan bahasa juga membawa pelbagai fungsi seperti fungsi sindiran, kiasan, dan sebagainya. Kepelbagaian fungsi dalam simpulan bahasa juga membawa kepada kepelbagaian makna dalam simpulan bahasa yang diciptakan. Simpulan bahasa merupakan khazanah yang tidak dapat dilupakan oleh semua masyarakat terutamanya masyarakat Melayu. Simpulan bahasa mempunyai keunikannya yang tersendiri yang mana mempunyai pelbagai makna dan pengelasan serta bentuk yang membuatkan simpulan bahasa itu lebih menarik dan mudah untuk diingati.

......

Khamis, 22 Mac 2012

#14 PERIBAHASA

Bahasa Melayu sangat kaya dengan peribahasa. Peribahasa ialah satu susunan bahasa yang indah dan menarik dituturkan oleh orang melayu terutamanya sejak beberapa lama dahulu. Oleh sebab susunan bahasanya cantik dan membawa pengertian yang mendalam, susunan bahasa ini dipakai orang untuk dijadikan teladan, bandingan dan pengajaran. Peribahasa merupakan salah satu cabang kesusasteraan lisan melayu. Peribahasa lahir daripada rasa dan pengalaman hidup yang ditempuh oleh masyarakat melayu lama. Di samping itu, peribahasa membawa pengertian dan tujuan yang benar untuk menjadi panduan kepada masyarakat melayu lama.

Pada amnya, peribahasa berfungsi untuk memberi pengajaran. Peribahasa juga digunakan untuk menyampaikan teguran dan sindiran dalam bahasa yang halus dan sedap di dengar. Sudah menjadi kebiasaan orang melayu apabila hendak menyampaikan sesuatu maksud dilakukan dalam bentuk kata-kata yang sesuai dan menarik. Daripada penggunaan bahasa yang indah, kemas dan padat dengan isinya ungkapan bahasa ini telah berkembang menjadi peribahasa. 

Contoh peribahasa yang sering digunakan dalam kehidupan hari ini adalah seperti :

1. Sudah terhantuk baru terngadah. (baru rasa menyesal setelah sesuatu berlaku)
2. Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. (menegur atau melarang seseorang melakukan sesuatu)
3. Seperti isi dengan kuku. (hubungan yang akrab)
4. Seperti anjing dengan kucing. (suka bergaduh)
5. Bagai melepaskan batuk di tangga. (buat sesuatu dengan sia-sia)


ULASAN : Peribahasa lahir dari masyarakat dan menggambarkan perwatakan masyarakat tersebut. Masyarakat mencipta peribahasa hasil dari pengamatan dan pengalaman mereka. Segala kesukaan, kesusahan, kedukaan, kejayaan dan kegagalan mereka digambarkan dalam rangkai kata yang ringkas, padat, indah dan mempunyai makna yang mendalam. Ia menjadi teladan, pengajaran dan perbandingan kepada masyarakat dalam meneruskan kehidupan harian mereka. Kita bertanggungjawab untuk memastikan peribahasa-peribahasa ini tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

......



Rabu, 21 Mac 2012

#13 Makna Tersurat dan Makna Tersirat

Setiap  ayat yang kita gunakan sama ada ia dipertuturkan ataupun ditulis mempunyai makna yang tersurat dan juga tersirat. Makna tersurat merupakan makna sebenar yang terdapat pada kata tersebut. Makna tersebut merupakan makna yang sebenar dan dapat difahami secara terus. 

Makna tersirat pula dapat diertikan sebagai makna yang diperoleh berbeza daripada makna yang tertulis atau makna yang diujarkan (Darwis Harahap, 1994: 138). Makna tersirat ini memerlukan pendengar atau pembaca bebas memberi tafsiran terhadap maksud yang ingin disampaikan. Kebiasaannya pengguna bahasa akan mengalami kesukaran untuk memahami sesuatu makna yang hendak disampaikan dalam perkataan yang membawa makna tersirat ini.

Contoh ayat yang menunjukkan perbezaan kedua-dua makna ini adalah seperti berikut :

(a) Dia selalu membeli ibu ayam di pasar untuk dipelihara.
(b) Dia telah ditahan dalam sebuah serbuan polis ketika berada di kelab tersebut kerana disyaki sebagai ibu ayam.



ULASAN : Ayat (a) merupakan ayat yang memperlihatkan ciri-ciri makna tersurat kerana 'ibu ayam' yang dimaksudkan adalah sejenis binatang. Ayat (b) pula merupakan makna tersirat kerana 'ibu ayam' di situ adalah simpulan bahasa yang bermaksud orang yang mencari pelanggan untuk pelacur. Oleh yang demikian, kita seharusnya tahu membezakan antara kedua-dua makna ini supaya sesuatu ayat atau mesej yang ingin disampaikan itu dapat kita fahami tanpa sebarang masalah.

......