Rabu, 7 Mac 2012

#3 Kata Sapaan yang Betul

Kita tinggalkan negeri Sabah buat seketika. Situasi sosiolinguistik yang ketiga ini berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Ketika berada dalam semester 4, saya telah menjadi timbalan pengarah bagi satu bengkel yang bertajuk 'Budi Bahasa di Kuanter'.

Program tersebut telah menjemput Prof Emeritus Abdullah Hasan selaku penceramah utama. Pemilihan prof adalah disebabkan beliau mengajar saya kursus Karya Agung dan itu memudahkan saya untuk berjumpa dan berurusan dengannya. Tambahan pula, Prof Emeritus Abdullah Hasan adalah orang yang paling layak dan sesuai untuk memberi ceramah berkaitan tajuk tersebut. 

Semasa mengikuti bengkel tersebut, prof berulang kali mengingatkan kami agar menggunakan kata sapaan yang betul ketika berurusan di mana-mana kuanter. Banyak dalam kalangan kita menggunakan kata sapaan yang salah ketika bercakap dengan orang di kaunter. Kesalahan yang sering dilakukan ialah memanggil semua orang di kaunter sebagai 'abang', atau 'kakak' untuk merujuk kepada diri mereka. Perbuatan ini adalah salah dan tidak patut digunakan sama sekali. 

Contoh ayat yang menggunakan kata sapaan yang salah ialah seperti berikut :

"Abang, boleh berikan saya borang tambah jam kredit.."
"Kak tahu tak di mana bilik Prof Zaleha?"


ULASAN : Kita tidak boleh sesuka hati memanggil seseorang itu dengan kata sapaan yang kita suka. Banyak faktor yang perlu kita lihat sebelum kita memanggil seseorang itu dengan sesuatu kata sapaan. Perkara ini tidak akan menimbulkan masalah sekiranya orang yang ditegur merupakan orang biasa yang tidak mempunyai sebarang pangkat atau gelaran khas yang tertentu. Masalah akan timbul sekiranya individu tersebut mempunyai darjah kebesaran seperti Tan Sri, Datuk, Dato' dan sebagainya. 

Oleh itu, prof emeritus menyarankan kepada kami semua supaya memanggil orang yang kita tidak kenal dengan kata sapaan 'tuan' untuk lelaki dan 'cik puan' untuk perempuan. Sehingga ke hari ini saya masih dalam proses mengamalkannya dan respon yang saya terima adalah sangat baik walaupun bunyinya agak janggal kepada sesetengah orang. Hal ini secara tidak lansung dapat mengelakkan seseorang itu berasa tersinggung sekiranya kita silap menggunakan kata sapaan yang betul bagi merujuk kepada dirinya.

......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan