Selasa, 20 Mac 2012

#12 Bahasa Halus dan Bahasa Kasar

Entri seterusnya ini masih mengenai variasi bahasa. Pada kali ini saya mahu membicarakan mengenai bahasa halus dan juga bahasa kasar. Kedua-dua jenis variasi bahasa ini menunjukkan perbezaan yang ketara dari beberapa aspek. Bahasa halus ialah bahasa yang bersopan-santun dan berbudaya tinggi. Bahasa halus ini menggunakan kata ganti nama yang bersopan serta nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan.

Contohnya dapat dilihat daripada surat-menyurat antara keluarga seperti penggunaan kata panggilan ayahanda, bonda, anakanda, kekanda dan nenda. Selain itu, kiasan pemanis turut digunakan dalam bahasa halus seperti :

1. Datang bulan (haid)
2. Buang air kecil (kencing)
3.Buang air besar (berak)
4. Berbadan dua (mengandung)
5. Orang rumah (isteri)
6. Nafkah batin (hubungan seks suami isteri)

Definisi dan contoh yang telah diberikan ternyata sangat berbeza dengan bahasa kasar. Bahasa kasar ialah lawan kepada bahasa halus iaitu tidak mementingkan amalan sopan-santun dalam proses berbahasa. Bahasa kasar ini dapat menyinggung perasaan orang lain. Bahasa ini juga tidak sesuai digunakan dalam situasi formal. Contoh penggunaan bahasa kasar ini dalam ayat ialah :

"Dari kampung abang pungut engkau, akhirnya ini balasan engkau pada abang. Engkau ni memang jenis lupa daratan, tak sedar diri. Sekarang engkau pergi minta maaaf dekat keluarga abang, kalau tidak kau boleh berambus dari rumah ini.."


ULASAN : Kita mestilah menggunakan bahasa halus dan cuba mengelak untuk menggunakan bahasa kasar ketika bertutur. Banyak kelebihan sekiranya kita menggunakan bahasa halus ketika berkomunikasi dengan orang lain. Antaranya ialah kita akan lebih menghormati orang lain, menjaga perasaan orang lain, serta dapat menimbulkan kemesraan antara satu sama lain.

......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan