Isnin, 5 Mac 2012

#1 Minta 'limpas'

Entri ini merupakan entri yang pertama untuk blog Sosiolinguistik Melayu yang saya bina khas untuk kursus ini. Sebenarnya Puan Husna Faredza telah minta kami semua untuk tuliskan diari berkaitan sosiolinguistik Melayu bermula dari minggu ke 3 hinggalah minggu ke 10. Namun begitu, situasi yang akan saya tuliskan ini bukanlah berlaku pada hari ini atau hari sebelumnya tetapi telah berlaku pada 30.5.2011 iaitu kira-kira 10 bulan yang lalu.

Pada 30.5.2011 hingga 12.6.2011, saya bersama beberapa orang rakan yang lain telah berkesempatan untuk mengikuti program baktisiswa di Sabah atau lebih tepat lagi di daerah Lahad Datu. Sebelum berlepas ke Sabah, kami telah berulang kali diingatkan bahawa terdapat beberapa perbezaan di antara masyarakat semenanjung dan juga masyarakat di Sabah seperti dalam aspek makanan, budaya, cara hidup dan juga bahasa.

Setibanya di sana, kami telah diberikan kepada keluarga angkat masing-masing dan kami akan bersama mereka selama 3 hari dua malam sehinggalah program tersebut berakhir. Dalam erti kata lain, kami akan makan, tidur dan melakukan segala aktiviti di rumah keluarga angkat masing-masing. Tujuannya adalah supaya kami semua dapat beramah mesra bersama keluarga angkat masing-masing selain daripada melaksanakan program di sekitar kampung yang telah ditetapkan dalam tentatif program tersebut.

Secara peribadi, saya tiada masalah untuk berada dalam kelompok mereka sehinggalah berlakunya satu situasi yang agak melucukan kepada saya. Ketika itu saya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumah. Salah seorang daripada anak keluarga angkat saya telah jalan melintasi hadapan saya dengan sedikit membongkok sambil berkata 'minta limpas'. Saya ketika itu berasa hairan dan bertanya kepada diri sendiri sebab dia minta 'lipas' daripada saya ketika itu. Dia terus keluar rumah dan persoalan tentang 'lipas' itu terus bermain dalam fikiran saya.

Keesokkan harinya, ketika menjalankan program motivasi kepada pelajar SPM sekolah di kampung itu, saya sempat bertanyakan kepada seorang pelajar tentang perkara tersebut. Pelajar tersebut hanya mentertawakan saya dan itu menyebabkan perasaan ingin tahu saya semakin menebal. Selesai sahaja program motivasi tersebut, saya terus pulang ke rumah dan terus bertanyakan perkara tersebut kepada ayah angkat saya. Rupa-rupanya 'limpas' yang saya faham 'lipas' (binatang) itu adalah bermaksud 'lalu' atau 'lintas'. Saya tersenyum sendiri ketika itu. Begitu juga dengan ayah angkat saya. Hehehe..

Ayah angkat (Sabri)

ULASAN : Kita dapat lihat bahawa dialek yang telah sebati dalam seseorang itu menyebabkan dia tanpa sedar telah menggunakan perkataan yang berunsur dialek tersebut kepada orang lain yang bukan daripada kelompoknya. Anak kepada ayah angkat saya sepatutnya menyedari bahawa perbezaan dialek ini telah menyebabkan  berlakunya salah faham kepada saya  sehinggakan saya tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.  


......

3 ulasan:

  1. untunglaa dpt family angkat di sabah bah :p

    BalasPadam
  2. semoga pertukaran sosiobudaya antara masyarakat berlainan budaya mampu menambah lagi semangat kebangsaan dan perpaduan di antara rakyat Malaysia. insya Allah~ =)

    BalasPadam
  3. apapun yang terjadi, tu semua sebagai satu pengalaman dan pengajaran ^^

    BalasPadam