Sama ada sedar atau tidak kita banyak menggunakan bahasa basahan dalam percakapan seharian kita. Banyak faktor yang memungkinkan perkara ini terjadi. Antaranya ialah berpunca daripada kebiasaan kita bercakap bahasa basahan ini sehari-harian hasil daripada pengaruh persekitaran dan juga latar belakang keluarga.
Bahasa basahan bermaksud bahasa yang bersifat percakapan atau bahasa pertuturan sehari-harian. Bahasa ini tidak mementingkan unsur tatabahsa kerana yang diberi keutamaan ialah kefahaman antara penutur dan pendengar. Bahasa ini sering dipengaruhi oleh dialek dan juga slanga sesuatu daerah.
Terdapat beberapa ciri yang dapat kita kenalpasti bagi merujuk kepada bahasa basahan ini. Bahasa basahan kebiasaannya menggunakan perkataan yang ringkas tanpa mengikut ejaan sepenuhnya. Namun begitu, pendengar masih berupaya untuk memahami ayat yang diucapkan oleh seseorang penutur itu. Di samping itu, pencampuran kod juga dapat dilihat dengan jelas dalam penggunaan bahasa basahan. Keadaan ini berkemungkinan berpunca daripada masyarakat Malaysia sendiri yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan keturunan.
Antara contoh ayat yang menggunakan bahasa basahan adalah seperti berikut :
1. Bila nak kahwin?
2. Sekolah bila buka?
2. Sekolah bila buka?
3. Dah makan belum!
Ayat yang sepatutnya adalah :
1. Bilakah awak hendak mendirikan rumahtangga?
2. Bilakah sekolah akan dibuka semula?
3. Awak sudah makan atau belum?
ULASAN : Berdasarkan contoh yang telah diberikan, kita dapat lihat bahawa berlaku singkatan kepada beberapa perkataan bahasa basahan ini. Perkataan-perkataan tersebut tidak dieja dengan sepenuhnya seperti yang sepatutnya. Oleh itu, hasil daripada definisi bahasa basahan yang telah diberikan menunjukkan kepada kita bahawa bahasa basahan ini tidak sesuai digunakan dalam bentuk penulisan ataupun sebagai ucapan rasmi majlis formal. Mungkin menjadi masalah kepada kita untuk tidak menggunakan bahasa basahan ini kerana ianya telah menjadi kebiasaan kepada kita setelah sekian lama. Namun begitu, kita boleh berusaha untuk mengurangkan penggunaan bahasa basahan ini dalam percakapan seharian kita dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam setiap pertuturan.
......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan